Thursday, August 20, 2009

Cerpen

Ini adalah cerpen yang dihantar oleh Akhi assoghir..Rasanya diambil dari website ilove Islam.com..Dah 2 hari tak buka e-mail.Mm,Banyak plk e-mail dalam inbox.Cukup ringkas sahaja cerpen ni.Hanya perkongsian ilmiah katanya..Pesan akhi, bukan sekadar baca, tapi kna faham dalam tindakan...Akhi, suka bercakap secara tersirat..baca je, cerpen ni..



‘Sayang’?

Saya terkejut apabila membaca beberapa mesej daripada handphone rakan saya itu. Dan kelihatan muka si rakan itu merah padam. Mungkin kerana tidak menemui apa yang dia kehendaki daripada handphone saya.
Hal ini berlaku apabila dia meminta untuk ‘melihat-lihat’ handphone saya dan saya pun mengenakan syarat untuk ‘melihat-lihat’ juga handphone kepunyaannya. Dan inilah yang terjadi.
Rakan saya itu merupakan ketua Badan Nuqaba’ di universiti. Sangat berpengaruh dan gemar memberi tazkirah. Tetapi rupanya hanyut juga dengan mainan nafsu.
“Ah, ana bercinta secara islamik.”
“Islamik sangatkah kalau sampai ada ‘sayang-sayang’? Islamikkah kalau menaikkah nafsu? Dan itukah yang Islam benarkan untuk telefon berjam-jam dan bermesej ‘sayang-sayang’?” Soal saya kembali. Dan dia diam membisu.
Entahlah. Saya sendiri tidak dapat memikirkan mana yang betul-betul baik dan mana yang salah. Sebetulnya ini bukan kes pertama yang saya temui. Dulu saya pernah ditegur kerana bercinta oleh seorang orang kuat dalam Badan Nuqaba’.
Tetapi pada suatu hari saya terlihat pula orang yang menegur saya itu keluar berdua-duaan dengan perempuan. Yang pasti bukan adik atau saudaranya kerana saya kenal juga dengan dia.
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah: 44)
Janganlah sorokkan keburukan sendiri dengan cara menunjukkan yang anda orang yang betul-betul faham akan agama.

Adakah istilah ‘Cinta Islamik’?

Dulu saya juga pernah menggunakan istilah ini. Menyukai seseorang tetapi hanya sms sahaja menjadi penghubung. Tidak pernah call langsung dan tidak pula terkeluar perkataan ‘sayang’ atau yang menaikkan nafsu. Semua saya cuba kawal seboleh mungkin.
Tetapi betulkah cinta seperti itu yang saya hendakkan? Saya berfikir balik kerana walaupun sekadar sms sahaja sudah mampu menyebabkan saya sedikit lalai, dan cerita yang ini anda boleh baca di entri saya ‘Ibadah Itu Cinta’.
Saya tidak menafikan memang fitrah manusia itu menginginkan sesuatu untuk mendorongnya daripada orang yang berlainan jantina daripadanya. Tetapi perlulah dengan cara yang terkawal.
Kalau sudah masuk sampai fasa ingin ada perkataan ‘sayang’ daripadanya, saya sarankan dua perkara. Pertama, kahwin dan yang kedua tinggalkan sahaja. Ini kerana jika fasa ‘sayang’ itu terlalu lama berlaku sebelum kahwin, ini mungkin akan menyebabkan satu perasaan pelik datang. Jemu.
Saya tidaklah tahu hormon jenis apa yang dirembeskan keluar atau bahagian saraf yang mana akan bertindak balas apabila menerima ransangan dan menyebabkan perasaan jemu dan bosan itu berlaku. Tetapi itulah yang berlaku kepada beberapa orang rakan saya yang bercinta.
Mungkin dalam dua tahun boleh bertahan. Tetapi kalau sudah masuk tahun keempat, ramai yang sudah mula terpisah. Jawapan mereka, “Dah tiada jodoh, nak buat macam mana.”
Nasib baik ada seorang yang berani tanpa malu menjawab, “Dah jemu sangat.”
Berbalik kepada persoalan betulkah ada istilah ‘Cinta Islamik’. Pandangan saya, ada bagi orang yang betul-betul menjaga pergaulan. Menetapi kehendak syariat. Cumanya memang fitrah manusia pula menginginkan sesuatu yang lebih daripada apa yang telah dia dapat. Dan dari situlah timbulnya merengek-rengek kepada pasangannya untuk memberikan lebih daripada sebelumnya.
Jadi, bolehkah berlaku ‘Cinta Islamik’ sebelum pernikahan jika begitu? Kemudian pandangan saya tertumpu pula ‘Cinta Islamik boleh berlaku selepas pernikahan’. Cuma ini sekadar pendapat saya dan ia masih lagi boleh dipertikaikan oleh anda jika mahu.

Jangan burukkan nama institusi jemaah

Hal ini saya kira memang berlaku dan menyerang mana-mana institusi jemaah mahasiswa. Bercinta dalam jemaah? Satu lagi idea pelik yang cuba dimurnikan. Maaf, cinta yang dimaksudkan adalah cinta antara pasangan berlainan jenis.
Mereka katakan kepada saya, “Inilah cinta islamik. Kami bercinta kerana dakwah. Nanti sudah kahwin bolehlah meneruskan jalan perjuangan ini.”
Tetapi bila saya datang ke biliknya, dia pula sedang menelefon pasangannya. Dan akibatnya saya terpaksa menunggu sehingga tamat gayutan perbualan tersebut.
Lelaki dan wanita yang baik bukanlah yang bersembunyi di sebalik kosmetik kata murni berbau Islam seperti itu. Kalau sudah salah janganlah disembunyikan lagi.
Memang setiap manusia ada ego tersendiri. Mereka akan menyangka apa yang mereka buat adalah betul. Dan kerana itu perlunya kawan untuk menasihatkan. Tetapi kalau nasihat kawan sendiri mereka cuba sangkal, apa lagi yang boleh saya buat.
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 42)
Saya tertarik dengan seorang rakan saya yang memang betul-betul berminat menjadikan seorang akhawat dalam jemaahnya sebagai isteri. Dan dia meminta tolong daripada naqibnya yang merupakan seorang ustaz untuk menguruskannya.
Harapnya tiada ‘sayang-sayang’ yang hadir sebelum pernikahannya. Dan yang ada hanyalah kerjasama dalam jemaah seperti dahulu juga. Seperti sebelum dia menyatakan hasratnya.
Ada seorang lagi rakan saya yang sedang bertunang dan bakal berkahwin dalam bulan Disember tahun ini. Hendak dikatakan kemaruk itu tidak nampak sedikit pun. Tiada pun sms ‘tanya khabar’ lagikan pula hendak telefon. Dia harap jika sudah berkahwin nanti, barulah rasa-rasa ingin bertanya khabar itu baru datang. Dan barulah cinta berputik pada masa itu.

Alangkah seringnya
Mentergesai kenikmatan tanpa ikatan
Membuat detik-detik depan terasa hambar
Belajarlah dari ahli puasa
Ada dua kebahagiaan baginya
Saat berbuka
Dan saat Allah menyapa lembut memberikan pahala
Inilah puasa panjang syahwatku
Kekuatan pada menahan
Dan rasa nikmat itu bakal kurasa
Diwaktu buka yang penuh kejutan

No comments:

Post a Comment